::Video Minggu Ini::

::Terjemahan Al-Quran::

::Al-Hadis::

Monday 29 August 2011

Khutbah: Kemerdekaan Diri di Aidilfitri




Allah Maha Besar, Allah Maha Agung, Allah Maha Segalanya. Allahu Akbar, Wa Lillaahil Hamd.
Sidang Jamaah Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang hadirin sekalian, agar TAQWA yang dijana di bulan Ramadhan, jangan disia-siakan. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar TAQWA dan jangan sekali-kali mati, kecuali dalam keadaan dirimu Muslim kepada-Nya.
Hadirin sekalian, rahimakumullah,
Hari ini adalah hari perayaan. Hari yang penuh kesyukuran dan kegembiraan, hari yang ditegah oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam daripada berpuasa padanya. Hari keraian, Hari meraikan.
Namun, apakah hakikat sebenarnya perkara yang kita raikan?
Apakah asbab gembira kita? Apakah signifikasi Aidilfitri hingga diharamkan kita berpuasa pada hari ini?
Persoalan ini harus direnung agar gembira kita ada sebabnya. Manusia yang gembira tetapi tidak tahu mengapa dirinya gembira adalah manusia ‘gila’. Manusia yang gembira tetapi tersalah sebab mengapa dirinya gembira dalah manusia lara yang menc ipta duka.
Negara kita Malaysia mengisytiharkan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan terbesarnya.  31 Ogos menjadi tarikh keramat yang diraikan di seluruh pelusuk tanah air. Apakah yang diraikan pada tarikh itu? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah hari kemerdekaan.
Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka.
Merdeka daripada penjajahan dan penindasan. Merdeka daripada dikawal oleh kuasa asing. Merdeka daripada mengikut telunjuk orang lain. Bumi ini milik kita, kitalah jua yang berhak mentadbirnya. Bukan orang lain.
Kemerdekaan bererti tanah air dikembalikan kepada tuannya. Kepada asalnya.
Jika kemerdekaan daripada penjajahan itu asbab keramatnya tarikh 31 Ogos, maka apakah nilai di sebalik 1 Syawwal? Apakah asbab gembira di Aidilfitri?
Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat,
Ingatkah kita kembali kepada erti Ramadhan?
Ramadhan diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari sebuah merdeka.
Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.
Penjajah pertama adalah Syaitan.  Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.
“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]
Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.
Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.
Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan?
Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.
Namun bagi yang kembali menyertai seruan Syaitan, ingatlah kepada firman Allah:
“Seumpama Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Kufurlah engkau!” Lalu apabila orang itu kufur, berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang Menguasai seluruh alam!” Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka (Syaitan yang mengajak dan manusia yang kufur menerima ajakan) ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim” [al-Hasyr 59: 16-17]
Muslimin dan Muslimat, semoga kita semua dirahmati Allah,
Penjajah kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.
Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]
Itulah sebesar-besar penjajah.
Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa berkata dua.
Manusia yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan, mereka ini buta biar pun celik. Mereka pekak biar pun bertelinga. Mereka menjadi bodoh biar pun memegang segulung ijazah ilmu. Manusia tatkala menjadi hamba kepada nafsu, ilmu sudah tidak lagi berfungsi membijakkannya. Mata yang celik gagal melihat. Telinga yang baik menjadi tuli. Hati menjadi buta dan mati, itulah penangan nafsu.
Berapa banyak rumahtangga yang musnah kerana manusia mengikut hawa nafsu?
Berapa banyak manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu?
Berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?
Semuanya gara-gara manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada kehendak dirinya yang begitu luas tidak terbatas. Nafsu mahu menelan dunia, biar pun makan mampunya hanya sepinggan.
Lalu Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita.
Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua makanan, namun memilih untuk tidak makan kerana mahu patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua minuman, kita memilih untuk tidak minum kerana patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa kita ada isteri atau suami yang halal, tetapi kita tidak mendatangi mereka kerana mahu mematuhi Allah?
Semua itu adalah pelajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?
Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Sesungguhnya kita benar-benar telah merdeka.
Firman Allah:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinyabersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya  itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [al-Syams 91: 7-10]
Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah.
Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,
Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan kita. Ia adalah perayaan yang dirasmikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai perayaan kaum Muslim.
Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis sahih An-Nasa’i)
Kita diberikan perayaan Aidilfitri ini agar kita tersendiri. Muslim harus punya jati diri. Muslim bukan Yahudi dan bukan Nasrani. Kita berbeza. Justeru perayaan kita juga berbeza.
Oleh itu, isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani.
Kita dibenarkan berhibur. Malah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah menegur perbuatan sahabatnya Abu Bakr al-Siddiq radhiyallaahu ‘anhu mendenda dua perempuan yang menyanyi-nyanyi di hari Eid dengan kata baginda:
“Wahai Abu Bakr! Setiap kaum itu ada hari rayanya. Dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita!” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira.
Tetapi janganlah pula dengan hiburan yang sekali lagi membuktikan bahawa kita tiada jati diri, tiada identiti dan masih gagal melepaskan diri dari hiburan versi Yahudi dan versi Nasrani, bernama HEDONISMA.
Ketagihan manusia kepada dadah hiburan bernama hedonisma ini sangat menakutkan. Bukan tidak tahu akan mudaratnya, namun dek ketagihan, manusia yang bertaubat darinya dengan mudah kembali semula menjamah hiburan melampau ini. Hatta di Aidilfitri …
Hindarilah dadah ini. Ingatlah kembali kepada pesanan Baginda:
“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)]
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Laa Ilaaha Illallaah!
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jamaah,
Setelah berakhirnya Ramadhan, pertahankanlah kejayaan perubahan diri yang telah dicapai.
Masjid jangan dibiar sepi. Solat-solat yang wajib lebih utama untuk dijamaahkan berbanding Tarawih. Puasa 6 hari di bulan Syawwal dan puasa-puasa sunat yang lain jangan dilupakan.
Anak-anak yatim jangan dibiarkan yatim 11 bulan.
Amal ibadah dan kebajikan mesti diteruskan.
Sesungguhnya, usia mati kita lebih lama daripada usia hidup. Bekerjalah semasa hidup untuk membolehkan kita berehat semasa mati. Janganlah banyak berehat semasa hidup hingga menyebabkan kita dikerjakan selama mati!
Daripada Abi ‘Umar (ada yang memanggilnya Abi ‘Amrah) bin ‘Abdillah radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata: Aku berkata, “Wahai Utusan Allah, katakanlah buatku berkenaan Islam perkataan yang aku tidak lagi perlu bertanya kepada sesiapa selainmu.” Kata Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, “KATAKANLAH AKU BERIMAN DENGAN ALLAH DAN KEMUDIAN BERISTIQAMAHLAH KAMU” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

salam lebaran, salam aidilfitri

semoga  aidilfitri tahun ini memberi kenangan yang terbaik buat semua c:

:: syawal kini kembali,
ramadhan dirindui ::

Friday 26 August 2011

Lailatul Qadar Yang Ditunggu Mukmin



10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.

Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sebab turun surah al-Qadr

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya: "Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya"

Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah

Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."

Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar

Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.

Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. 

Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.

Doa khusus di Malam Lailatulqadar
Doa tersebut diterangkan di dalam hadis berikut

1. Hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.
Maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut"

Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silaf hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silafku. Terdapat juga beberapa doa yang disar ankan oleh para alim ulamak kita melakukannya seperti membaca doa
Orang yang beribadah pada 10 malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatulqadar ujud pada salah satu malam yang 10 itu terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatulqadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting yang tersebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:

1. Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatulqadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
3. Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatnya dan keredaannya.
Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadat di malam Lailatulqadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya.

Tanda Malam Lailatulqadar
Para alim ulamak r.h. menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatulqadar:

- Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatulqadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala cerok yang gelap gelita.
- Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat.
- Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
- Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.
Imam Tabari r.h. memilih kaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui malam Lailatulqadar.

Tuesday 2 August 2011

Keunikan Ramadan terserlah di Kota Bharu

KOTA BHARU, 31 Julai: Di negeri-negeri lain kempen kibar Jalur Gemilang sedang rancak dijalankan, sebaliknya di Kelantan kemeriahan Ramadan pula dirasai sekarang.
Persiapan akhir di Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sedang dijalankan sejak pagi tadi.

Kelainan Ramadan sejak 20 tahun lalu dirasai apabila ada khemah khas tempat solat Tarawih disediakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) di tengah pusat bandar.

Bermula khemah Tarawih di Dataran MPKB kemudian dipindahkan ke lokasi sekarang yang lebih selesa dan strategik.


Solat Tarawih berimamkan qari dari Mesir sejak beberapa tahun lalu begitu mengasyikkan ribuan jemaah yang hadir.

Tambahan pula tempat solat di Qaryah Ramadan disediakan penghawa dingin. Selain itu di beberapa masjid utama di sekitar Kota Bharu juga disedia penghawa dingin termasuk Masjid Muhammadi, Masjid Telipot, Masjid Lundang dan Masjid Kota Darulnaim.

Bagi pemimpin kerajaan negeri dan PAS, Ramadan lebih sibuk berbanding bulan lain memandangkan program tadarus al Quran diadakan di setiap kawasan parlimen.
Selain itu mereka juga perlu menyampaikan tazkirah di Dewan Zulkifli Mohammad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan selepas solat Zohor.

Tazkirah dimulakan pada 1 Ramadan dan dijangka dilancarkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Turut dijadual menyampaikan tazkirah tersebut anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Dua anggota Exco yang bukan lulusan bidang pengajian agama iaitu Abdul Fattah Mahmood (optometrist) dan Che Abdullah Mat Nawi (kewangan) juga dijadual menyampaikan tazkirah selama 20 minit.

Manakala program tadarus al Quran dimulakan pada 2 Ramadan akan diadakan di kawasan parlimen Ketereh bermula solat Asar sehingga waktu iftar.

Program itu akan diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Program serupa diadakan di kesemua 14 kawasan parlimen di Kelantan.

Kemuncaknya program tadarus al Quran akan diadakan pada 17 Ramadan di Bukit Bunga, Jeli. Sempena program itu ceramah Badr al Kubra juga diadakan.

Di Qaryah Ramadan pula pelbagai program disusun khas seperti tahun-tahun sebelumnya. Antaranya iftar dan sahur jama’i, kelas pengijazahan al Quran, tazkirah selepas dua salam Tarawih, relay bacaan al Quran selepas jam 12 malam.

Selain itu tadarus al Quran setengah jam sebelum berbuka, qiamulai mulai jam 4 pagi, program sepetang di ambang iftar, interaktif bersama imam dari Mesir, kelas al Quran selepas solat Zohor dan Asar, pameran Palestin serta cafe mubarak.
Perasmian Qaryah Ramadan dijangka diadakan pada 4 Ramadan selepas solat Tarawih oleh Menteri Besar.

Himpunan Remaja Ramadan

Himpunan Remaja Ramadan pula diadakan pada petang 5 dan 15 Ramadan. Majlis khatam al Quran 30 juzuk dijadualkan pada 13 Ramadan.

Di Qaryah Ramadan juga akan diadakan ceramah Nuzul al Quran pada 17 Ramadan disampaikan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan pendakwah bebas, Datuk Zawawi Yusof.

Tahun ini juga diadakan program Sehari Celik IT dan program Skor A bagi pelajar-pelajar bakal menduduki peperiksaan, pagi 20 Ramadan.

Pada malam hari sama diadakan ceramah pengkisahan Badar Kubra akan disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Speaker Dun Kelantan dan wakil Palestin.

Kelainan juga dapat dirasakan apabila pelbagai sepanduk meraikan kedatangan Ramadan boleh dilihat di merata tempat di Kelantan sejak seminggu lalu.
Sementara itu bandar Kota Bharu mengalami kesesakan lalu lintas begitu teruk pada Khamis, Sabtu lalu dan hari ini.

Perjalanan yang hanya mengambil masa 15 minit pada hari biasa bertukar kepada lebih sejam.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4641-keunikan-ramadan-terserlah-di-kota-bharu

Ramadhan Yang Mahal Buat Para Pendosa

Ramadhan, Tanda Allah Masih Sayangkan Kita

Kamu, saya dan mereka. Kita semua adalah pendosa. Ya. Sungguh, banyak kesilapan telah kita lakukan, hasil kelalaian kita selama ini. Sudah diingatkan berkali-kali tetapi tetap alpa dan leka. Akhirnya terpalitlah pada diri ini dosa-dosa, yang kalau kita lakarkan lukisan bentuk hati di atas kertas dan menitik satu titik hitam bagi setiap dosa, nescaya mungkin gelaplah lakaran bentuk hati itu lantaran banyaknya dosa-dosa kita.

Namun, pendosa seperti kita ini, Allah SWT berikan lagi Ramadhan kepadanya.

Apakah perasaan?

Jujurnya, saya rasa terharu apabila seorang pendosa seperti saya, diberikan oleh Allah SWT peluang untuk memasuki Ramadhan yang teramat-amat mulia ini.

Ya. Terharu. Seakan-akan Allah SWT bersuara:

“Nah, ini peluang untuk kamu membersihkan diri.”
Seakan-akan, ini adalah bukti tanda Allah masih ‘mahu’ pendosa ini memasuki syurgaNya.


Ramadhan yang mahal buat pendosa.

Hanya orang yang mati sahaja akan mengetahui nikmat hidup. Dan hanya orang yang mati sebelum Ramadhan sahaja yang akan mengetahui betapa mahalnya sebuah Ramadhan untuk dirinya.

Ramadhan adalah medan di mana Allah lambakkan segala ganjaran. Tetapi lebih dari ganjaran-ganjaran tersebut adalah, Ramadhan ini Allah lambakkan juga dengan peluang-peluang keampunan yang terbuka luas.

Daripada Abu Hurairah telah berkata bahawa Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud

: “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya…” Hadith Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi.

Abu Hurairah telah berkata bahawa Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.

Mengapa peluang keampunan itu mahal?

Kerana keampunan itu memadamkan dosa-dosa.

Apakah yang lebih bermakna untuk seorang pendosa, selain dipadamkan dosa-dosanya?

Allah masih memandang kita. Apakah yang lebih besar?

Dan perasaan bahawa Allah SWT masih memandang kita, masih memberikan peluang kepada kita, nyatanya di situ ada tanda yang jelas bahawa ALLAH MASIH SAYANG KITA, justeru hati pendosa mana yang tidak kembang dengan perkara ini?

Seakan-akan orang yang lapar tidak makan berhari-hari, yang kemudiannya diberikan makanan. Begitulah pendosa-pendosa yang gelisah dengan dosa-dosanya dan kemudian diberikan ruang keampunan. Pasti ‘Sang Pemberi’ punya rasa belas.

Tidakkah kita rasa bertuah, di’belas kasihan’kan Allah SWT?

Allah SWT! Siapakah Allah? Tuhan Sekalian Alam. Yang Di tanganNya langit dan bumi. Yang Menguasai Segala-gala. Yang Maha Perkasa. Allah itulah yang sedang memandang kita para pendosa dan memberikan belas kasihanNya kepada kita dengan memberikan peluang Ramadhan kali ini buat kita.

Kita! Siapakah kita? Kita yang penuh dengan lumpur-lumpur dosa. Kita yang bila diberikan peringatan lupa. Kita yang bila ditegur tak ambil peduli. Kita yang terus-terusan mengulang dosa yang sama. Kita yang lambat bergerak menghargai peluang keampunanNya selama ini.
Apakah yang lebih besar dari perasaan “Allah Masih Memandang Aku. Allah Masih Sayang Aku.” Ini?

Nyata orang-orang yang melihat akan tersedar, lantas mengambil peluang Ramadhan ini.
Allah masih sayangkan kita.
Kita. Pendosa.

Ramadhan Yang Kini Kita Berada Di Dalamnya

Penutup: Motivasi buat pendosa yang masih hidup. Ramadhan ini, berubahlah.

Tanda bersyukur bukanlah hanya dengan menyebut alhamdulillah.
Orang yang bersyukur dengan pemberian kedua-dua ibu bapanya, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik. Ibu bapa beri duit untuk dia belajar, dia belajar bersungguh-sungguh.

Maka orang yang bersyukur dengan pemberian Allah SWT, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik juga. Allah SWT memberikan kita Ramadhan untuk menjadi lebih baik, maka kita mengambil segala peluang yang wujud di dalam Ramadhan dengan bersungguh-sungguh.
Kalau Allah benci dengan kita, Dia boleh sahaja mematikan kita sebelum Ramadhan.

Tidak memasukkan kita dalam kalangan yang mendapat peluang ini.

Tetapi sekarang, Ramadhan telah tiba dan kita berada di dalamnya.

Maka marilah kita, para pendosa yang masih hidup ini, bersyukur, dengan mengambil peluang Ramadhan ini, menjadikan Ramadhan kali ini medan perubahan kita.
Ayuh!

© Langitilahi.com

Monday 1 August 2011

Wajib Tutup Aurat!

Salam, kini kita dah masuk bulan Ramadhan. Puasa puasa jugak. Ibadah ibadah jugak. Macam mana dengan aurat? Mesti kena jaga jugak. Kalau tak sia-sia saja beramal ibadah. Betul ke ada orang kata  "xpkai tdum labuh pom xpe asalkan tutup aurat'?(yang kata ini pun sekolah agama juga). So , macam mana yang diistilahkan tutup aurat sebenarnya?



Masih relevankah kata-kata "xpkai tdum labuh pom xpe asalkan tutup aurat'?
fikir-fikirkanlah 

p/s:untuk lihat dengan lebih jelas gambar tekan"right click" dan 'open link in the new tab"

Menuju Perubahan


Gambar Hiasan

Rashid melipat sejadah. Dia baru saja menunaikan solat Asar berimamkan bapa mertuanya, Haji Sarip. Sudah tiga hari dia bercuti di kampung. Esok dia harus memulakan tugas seperti biasa. Setelah bersalaman dengan ibu dan bapa mertua. Rashid dan isterinya, Zakiah meminta diri untuk pulang.Tidak lama kemudian, kereta Wira Aeroback yang dipandu meluncur di jalanraya. Perjalanan dijadualkan akan mengambil masa lebih 2 jam..Bersama dengan isteri yang dikahwininya dua tahun yang lalu. Mungkin belum rezeki, mereka belum dikurniakan cahaya mata.Rashid tidak memikirkan sangat soal zuriat kerana perkahwinan mereka masih muda. Lagipun mereka berdua sama-sama bekerja. Cadangnya setelah ekonomi mereka kukuh sedikit, barulah merancang untuk menerima cahaya mata.Hampir sejam berlau, Rashid membelok memasuki lebuhraya. Bahang matahari sudah mengendur. Keremangan petang membuatkan cuaca lebih nyaman. Ketika mengerling ke wajah isterinya, Rashid tersenyum. Zakiah sudah terlena.

Rashid menghidupkan radio. Mendengar lagu untuk mengatasi perasaan mengantuk. Ketika jam menunjukkan pukul 7:30 malam, Zakiah membuka mata. Dilirik wajah suaminya sepintas lalu. Sudah masuk waktu Maghrib. Kalau tidak dingatkan, pasti suaminya tidak akan berhenti untuk menunaikan solat Maghrib. “Dah Maghrib, bang. Berhenti sekejap.” Wajah Rashid kelihatan keruh. Membayangkan perasaan kurang senang mendengar permintaan isterinya. Zakiah sedia maklum. Suaminya bukan sembahyang sepanjang waktu. Hanya di depan kedua orang tuanya. Malahan di depan orang tuanya sendiri, Rashid tidak pernah sembahyang. Zakiah kesal dengan sikap suaminya, sudah puas dia memberikan nasihat tetapi langsung tidak mempan.

Beberapa kilometer kemudian, Rashid membelok masuk ke tempat rehat. Zakiah kurang yakin suaminya akan turut sama menunaikan solat Maghrib. Selalunya Rashid lebih rela menunggu di dalam kereta atau membasahkan tekak di medan selera. Tempat rehat kelihatan sesak dengan kenderaan. Rashid tidak menemui ruang untuk memarkir kereta. Dia menghentikan kereta, meminta Zakiah turun.

“Abang tak turun sekali?” tanya Zakiah penuh harapan.
“Kiah pergilah… abang tunggu kat sini. Tak ada parking,” jawab Rashid mudah. Sepeninggalan Zakiah yang turun bersama beg berisi telekung, Rashid memejamkan mata. Tempat parking masih penuh. Dia terlelap seketika, terjaga semula sewaktu Zakiah membuka pintu kereta. Perjalanan diteruskan.

“Abang tidur?” tegur Zakiah.
“Ha… terlelap sekejap. Letih rasa badan ni.”
“Kalau abang letih, biar Kiah bawak.”
“Tak apa… kalau tak tahan sangat Kiah bawaklah nanti.” Zakiah tidak membantah. Lagipun dia sendiri terasa penat.


Hujan mulai turun membasahi jalan. Rashid memperlahankan kereta. Memandu dalam keadaan jalan licin mengundang risiko. Namun malang tidak berbau. Rashid sudah berhati-hati tetapi ada pemandu lain yang kurang memikirkan keselamatan diri dan orang lain. Secara tiba-tiba Rashid merasakan sesuatu merempuh bahagian belakang keretanya. Dentuman yang amat kuat kedengaran. Serentak dengan itu kereta yang dipandunya melambung sebelum menghempas jalan dengan bahagian atas ke bawah. Apabila sudah menyedari apa yang sebenarnya berlaku, Rashid berusaha keluar. Namun kakinya tersepit sedangkan Zakiah di sebelahnya tidak sedarkan diri.

“Ya Allah… selamatkan kami… ” bisiknya perlahan. Terasa mukanya basah, darah merah mengalir. Orang ramai datang membantu mengeluarkan Zakiah terlebih dulu. Kemudian giliran Rashid tetapi usaha mereka gagal kerana kaki Rashid tersepit.
“Tersepit… tak boleh tarik… Kena tunggu bantuan. Kita bawa dulu yang perempuan ke hospital.” Rashid berdoa dan berdoa tanya henti agar Allah S.W.T menyelamatkan Zakiah dan dirinya.

“Bertahan, encik. Kami sudah memanggil bomba!”
Anehnya Rashid tidak merasakan kesakitan yang sewajarnya. Boleh dikatakan kakinya tidak terasa dihimpit oleh sesuatu. Namun dia gagal untuk menggerakkannya.
“Tolong saya, encik… ” pinta Rashid dengan nada sayu.
“Mengucap… cik… berdoa kepada Allah… cik akan selamat.”
“Sabar encik… tak lama lagi pasukan penyelamat akan sampai.” Kata-kata memberi semangat silih berganti menusuk telinganya.Dengan keremangan malam, Rashid melihat begitu ramai yang mahu membantu. Syukur. Pandangannya tertumpu pada seorang lelaki yang memakai jubah serba putih. Berserban dan berjanggut lebat. Kelihatan mulutnya terkumat-kamit sambil tangannya memegang tasbih.

“Ya Allah… selamatkanlah aku… “
Bunyi siren agak melegakan Rashid. Bantuan sudah tiba.Pasukan bomba dengan tangkas mengeluarkan alat kelengkapan untuk mebebaskan Rashid dari himpitan. Beberapa minit berlalu, kemudian suasana menjadi sunyi apabila salah seorang anggota bomba bersuara.
“Kakinya tak tersepit apa-apa. Pelik… kenapa tak boleh keluar?”
Usaha untuk mengeluarkan Rashid terhenti. Semua yang ada di situ kebingungan. Mereka tidak mampu menarik Rashid keluar, sedangkan tidak ada apa-apa yang menghimpitnya. Rashid sendiri kebingungan. Bencana apa yang sedang menimpanya.
“Ini bukan kerja manusia macam kita… kena panggil orang yang tahu… ” terdengar sebuat pendapat. Rashid semakin gementar. Doanya tidak putus-putus. Ketika mulutnya terkumat-kamit berdoa, tiba-tiba dia merasakan seseorang berjongkok di sebelahnya. Rashid berpaling, agak tersentak melihat lelaki berjubah tadi berada di sebelahnya.

“Tuan… tolong saya tuan… “
“Saya tak boleh menolong, Yang Berkuasa hanyalah Allah Taala… “
“Saya tak berhenti berdoa, tuan. Tolonglah saya, tuan… “
“Kamu berdoa kepada siapa?” Rashid terdiam. Aneh bunyi pertanyaan lelaki itu. Dalam keadaan cemas begitu, Rashid merasakan bukan tempatnya untuk bergurau. Apatah lagi lelaki itu kelihatan seperti orang alim.
“Sudah tentulah pada Allah.”
“Tetapi Allah bukanlah Tuhan kamu!”
Rashid tidak mampu hendak menggerakkan sebarang anggota. Kalau tidak, sudah pasti dia akan mengerjakan lelaki itu. Nampak saja alim, tetapi bercakap seperti orang yang tidak berilmu.

“Bukankah selama ini kamu tak pernah menyembah Allah. Kamu hanya mendirikan sembahyang di depan mentua kamu. Sedangkan di belakang mereka, kamu tidak pernah ingat pada Allah. Tidakkah kamu malu meminta pertolongan dari Allah. Kenapa kamu tidak meminta pertolongan dari mentua kamu!”


Tenggorok Rashid terasa amat kering. Dia ingin bersuara, memohon ampun atas kesilapannya selama ini, tetapi tidak ada suara yang keluar.
Lelaki berjubah itu hanya tersenyum, kemudian bangun dan meninggalkan Rashid. Rashid berusaha untuk memanggil, ingin memaklumkan bahawa dia menyesal tetapi mulutnya tidak mampu lagi dibuka. Sedangkan kesakitan mula terasa.Sesuatu yang amat berat menghimpit sehingga dia tidak mampu bernafas. Rashid cuba meronta tetapi usahanya hanya sia-sia. Tidak lama kemudian dia tidak sedarkan diri.

“Abang… bang! Abang!!” , sayup-sayup terdengar suara memanggilnya dari jauh.
“Abang !!! … bang !!  Abang !!!, suara tersebut didengarinya semakin jelas. Itu suara Kiah.
Perlahan Rashid membuka mata. Wajah isterinya memenuhi pandangan. Syukurlah isterinya selamat. Rashid memanjatkan kesyukuran di dalam hati. Akhirnya mereka mampu keluar dari bencana.

“Sedapnya tidur… naik serak suara Kiah mengejutkan abang… “
Tidur? Rashid terpinga-pinga. Segera dia memandang sekeliling. Ya Allah! Dia masih berada di tempat rehat.
“Kiah tunggu sekejap… abang nak solat Mahgrib!” kata Rashid sambil terkocoh-kocoh membuka pintu kereta. Zakiah tercengang, senyuman merekah di bibirnya.
Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.W.T bersabda :-

“ALLAH S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KEMASJID, KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI KEPENTINGAN DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN PADA WAKTU TENGAH MALAM”.


Strawberry On Top Of Cupcake

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...