::Video Minggu Ini::

::Terjemahan Al-Quran::

::Al-Hadis::

Saturday, 24 December 2011

Amanat terakhir Ketua Umum MaahadTahfizSains 2011


Assalamualaikum kepada sahabat2 yang cukup ana sayangi, moga kesihatan diri dan imanmu masih terjaga.


Yang pertama dan buat selama-lamanya, setinggi kesyukuran buat Rabb, kerana masih dalam mode iman. Iman itu cukup mahal dan berharga, ALHAMDULILLAH masih kekal dalam hati. Sekadar peringatan untuk ana sendiri dan sahabat2 sekalian, AYUH MENJADI HAMBA ! ALLAH itu cukup sayang kepada hamba-hambaNya, dan DIA tidak berhajat kepada kita, bahkan kita yang terlalu memerlukan kasih sayang ALLAH. Janganlah kesenangan dan HAWA NAFSU kita membuat kita jauh daripada ALLAH. Dunia ini kita ibaratkan seperti anjing-anjing yang memakan daging yang didalamnya tersembunyi pisau yang cukup tajam. Lidah sudah berdarah tidak dipedulikan asal kehendak nafsu dipenuhi. Kenikmatan sementara dirasai namun kesengsaraan selamanya yang kita dapat.

<!-- more -->
 Sekarang, zaman perang pemikiran dan jiwa. Setiap huffazul Quran perlu mempunyai fikrah yang cukup mantap. Jika antum sedar, visi BALKIS sendiri sudah merangkumi apa yang RASULULLAH bawa iaitu KEARAH MEMBUDAYAKAN CARA HIDUP ISLAM. Tidak ada jalan singkat, untuk membawa ISLAM yang menentang hawa nafsu manusia. Oleh itu, jangan diulangi kesilapan da'ie-da'ie lalu yang membawa ISLAM dengan cara kurang berhikmah. Da'ie yang dinamik faham mengenai pemikiran-pemikiran ISLAM serta mempunyai kefahaman akidah, syariah dan tasawuf yang mendalam. Amat rugi huffazul Quran yang sekadar menjadi kaset AL-QURAN, sedangkan kekuatan dan bakatnya masih boleh dikembangkan dengan menghidupkan FURQAN tersebut sebagai medium islah ummah. 

Sahabat-sahabat generasi yang dinanti-nantikan,
Mungkin perkara bernilai yang setiap daripada kita temui di MTS adalah UKHWAH. Slogan 'Kita Kawan Sampai Syurga' sememangnya indah. Oleh itu tidak dapat tidak, adab bersahabat, bersamalah sehingga ke syurga. AJAK ke arah 'birru wattaqwa' dan TEGAH mereka dari 'fujur' dan kemaksiatan pada ALLAH. Pesanan TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT yang cukup bernilai, 'disebut fujur (kejahatan) berbanding TAQWA dalam QURAN adalah kerana fitrah nafsu suka akan kejahatan'. Maka dapat kita ambil ibrah, nafsu itu jika tidak diutamakan kebaikan keatasnya, pasti manusia tersebut rebah ke lembah Thaghut.

Buat pengakhiran, JUNJUNGLAH ISLAM walau di mana kita berada. Segenap medium dan uslub boleh diguna bagi membawa ISLAM. Semoga BALKIS menjadi wadah kegemilangan ISLAM. Sedangkan Nabi dihina membawa ISLAM, janganlah kita rebah kerana mencari redha manusia. ALLAH_1st. Salam.

Friday, 16 December 2011

Program Konvensyen Tarbiah 2011

ATURCARA PROGRAM KONVENSYEN TARBIAH

Hari Pertama 23/12/2011 (Jumaat)
3.00 petang : Pendaftaran peserta
4.20 petang : Solat Asar berjemaah
4.45 petang : Majlis Iftitah dan Gimik Tarbawi
(Disempurnakan oleh YB Dato’ Hj Abdul Fatah Mahmood)
6.00 petang : Makan malam
6.45 malam : Wirid Mathurat / Solat Maghrib berjemaah
7.20 malam : Bicara Seni Tarbawi
(Dato’ Hj Yahya Osman)
8.25 malam : Solat Isyak berjemaah
8.40 malam : Forum Sofwah Islamiah
10.40malam : Tayangan Tarbawi siri 1 dan pementasan minda
11.15 malam : Halaqah al-Mulk / Istirehat

Hari Kedua 24/12/2011 ( Sabtu )
4.45 pagi : Qiamullail Jamaie bermula
5.50 pagi : Solat Subuh berjemaah
6.15 pagi : Tayangan Siri II dan Kuliah Anak Muda
7.20 pagi : Sarapan & Khidmat diri
8.35 pagi : Kita & Gerakan Islam Global; Menghadapi Cabaran kini
(Tetamu PKS dari Indonesia)
11.00 pagi : Diskusi Buku terpilih (Negara Berkebajikan)
(Dr. Zulkifli Ahmad)
12.45 t/hari : Makan tengahari
1.15 petang : Solat Zuhur berjemaah
2.00 petang : Tayangan siri III: Kita & Jihad / pementasan minda
2.45 petang : Resolusi Anak Muda Kelate/Doa Wehdah
3.10petang : Amanat & Taujihat oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan
4.15 petang : Solat Asar berjemaah
5.00 petang : Bersurai

Thursday, 15 December 2011

Remaja Berakal Fokus Belajar

Merebut Hati
            Meniti usia remaja, terlalu banyak tarikan-tarikan di sekiling yang mahu memenangi fokus hati. Cinta, hiburan, gejala sosial, rakan sebaya, kerja sambilan, menghabiskan masa dan banyak lagi pesaing-pesaing yang cuba merebut sekeping hati remaja. Amanah belajar yang terpikul di bahu remaja sering ditewaskan oleh pesaing-pesaing itu.
            Remaja berakal perlu sentiasa peka terhadap persiapan akal, rohani dan jasmaninya. Belajar adalah proses mempersiapkan akal. Ia suatu proses seumur hidup. Ia sepatutnya menjadi prioriti seseorang untuk mengisi alam remajanya dengan belajar, belajar dan terus belajar. Penting sangatkah belajar untuk mempersiapkan akal? Sudah tentu! Kesedaran ini akan memudahkan hati memenangkan apa yang lebih penting dan utama dalam persaingan tarikan-tarikan tadi merebut fokus hati.
            Para cerdik pandai berkata, “Barangsiapa yang akalnya bukan merupakan sesuatu yang dominan, maka dia akan mati dan binasa kerana sesuatu  yang paling dicintainya.”
Allah Sebagai Akal
            Berkata Aisyah r.ha, “Beruntunglah orang yang menjadikan Allah sebagai akalnya.” Remaja berakal akan sentiasa memikirkan apa yang Allah inginkan sebelum melakukan sesuatu. Nilaian Allah menjadi kayu ukur dan pemutus. Tiada nilaian lain yang lebih penting daripada nilaian-Nya.
Baginya, yang baik itu ialah apa yang Allah katakan baik, dan yang buruk itu ialah apa yang Allah katakan buruk. Akal dan pemikirannya bebas berfikir serta dipandu oleh petunjuk wahyu. Tidak sebagaimana remaja di Barat, mereka berfikir sebebas-bebasnya namun sayang tanpa panduan dan tanpa petunjuk. Maka natijahnya, akal dimanfaatkan untuk memajukan perkara maksiat. 
Umar al-Khattab berkata, “Orang berakal itu bukan setakat mampu membezakan yang baik dari yang buruk, tetapi mampu mengetahui mana yang lebih baik daripada dua keburukan.”
 Al-Hasan pula berkata, “Agama seseorang tidak menjadi sempurna kecuali dengan kesempurnaan akalnya. Allah tidak memberikan akal kepada seseorang melainkan suatu hari Dia akan menyelamatannya dengan akal itu.”
Akal Melelahkan Syaitan
            Wahab bin Munabbih berkata, “Syaitan merasa paling kesulitan jika menghadapi orang mukmin yang berakal. Dia boleh menarik hidung seratus orang bodoh, mengarahkan mereka malah menunggang di atas bahu mereka, lalu membawa mereka ke manapun yang dia kehendaki. Namun, dia benar-benar merasa kesulitan berhadapan dengan orang mukmin yang berakal dan memujuknya, sekalipun untuk mendapatkan sedikit apa yang dihajatkan daripadanya.”
            Remaja berakal sentiasa menyebabkan syaitan dalam kelelahan dan kesulitan. Syaitan yang kelelahan kadang kala merelakan remaja melakukan kebaikan begitu sahaja tanpa digoda. Lantaran kelelahan itu, si syaitan terpaksa beralih arah menggoda orang-orang bodoh.
            Berkata Wahab bin Munabbih lagi, “Meruntuhkan gunung sebongkah demi sebongkah batunya, lebih mudah bagi syaitan daripada memujuk orang mukmin yang berakal. Jika dia benar-benar tidak mampu menghadapinya, maka dia beralih kepada orang-orang bodoh lalu menawannya. Syaitan boleh memimpinnya hingga menjerumuskannya  kepada pelbagai macam kehinaan yang dirasakan di dunia, seperti mendapat hukuman rejam, dipotong tangannya, disalib dan kehinaan-kehinaan yang lain.”
            Remaja berakal sudah tentu tidak mahu terperangkap dalam kehinaan ditangkap khalwat, dibicarakan kerana masalah sosial, ditahan kerana merempit, didakwa kerana membuang bayi luar nikah, dihantar ke sekolah juavana, dilatih di pusat-pusat pemulihan akhlak dan sebagainya. Kehinaan ini hanya layak bagi orang-orang bodoh yang sering memenangkan nafsunya. Mereka sering memilih jalan maksiat dengan alasan, “Saya tak kuat,” tanpa berusaha menggunakan akal untuk menguatkan diri dengan ilmu dan mujahadah.
            Orang yang tidak menggunakan akal bukan sahaja mendapat kehinaan di dunia tetapi turut mendapat kehinaan di akhirat. Amat malang kerana kehinaan di akhirat itu lebih menyakitkan dan boleh bersifat kekal selama-lamanya. Wahab bin Munabbih meneruskan katanya,
            “Sementara di akhirat dia akan mendapat neraka dan aib yang sangat menghinakan. Boleh jadi dua orang sama dalam kebaikannya, namun ada perbezaan yang memisahkan kedua-duannya seperti pemisahan antara timur dan barat kerana akalnya. Allah tidak disembah dengan sesuatu yang lebih baik daripada dengan akal.”
Remaja Berakal Tidak Mahu Hipokrit
Seringkali akal ditipu,
            “Saya tidak mahu buat begini (merujuk apa-apa perbuatan baik) kerana saya tidak mahu menjadi hipokrit,” kata remaja.
            Kata-kata seumpama ini mencerminkan bahawa remaja itu sedang melabelkan dirinya yang sebenar adalah seseorang yang buruk, berdosa dan sentiasa di takuk lama.
Sedarkah kita, kita dilahirkan dalam keadaan fitrah sebagaimana yang dimaklumkan oleh hadis sahih riwayat Bukhari, no. 1296. Fitrah di sini bermaksud Islam. Islam itu bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Ya, kita dilahirkan dalam keadaan kita adalah seorang hamba yang perlu taat dan patuh kepada-Nya dengan penyerahan diri yang total.
Maka, kita sedang menjadi diri sendiri ketika kita sedang melakukan kebaikan. Kita sedang hipokit dengan Allah ketika kita sedang melakukan kejahatan. Inilah hakikatnya diri kita yang sebenar, fitrah, suci dan bersih. Remaja yang berakal akan segera menukar paradigma agar tidak tertipu lagi.
Yusuf bin Asbath berkata, “Akal adalah pelita yang tidak nampak, hiasan yang terzahir, pengatur badan dan pemantau urusan hamba. Kehidupan tidak akan membaik tanpa akal dan urusan tidak akan berjalan normal kecuali berdasarkan akal.”
Remaja Berakal Segera Bertaubat
Remaja berakal tidak bertangguh untuk bertaubat jika dia melakukan kesalahan.  Dia tidak bertangguh untuk melakukan kebaikan. Tidak bertangguh untuk melakukan perubahan yang lebih positif. Kenapa? Kerana dia sedar dia dilahirkan untuk menjadi yang terbaik.
            Muaz bin Jabal berkata, “Andaikata orang yang berakal itu mempunyai dosa pada pagi dan petang hari sebanyak bilangan pasir, maka akhirnya dia cenderung masih boleh selamat daripada dosa-dosa itu. Andaikata orang yang bodoh itu mempunyai kebaikan dan kebajikan pada pagi dan petang hari sebanyak bilangan pepasir, maka akhirnya dia cenderung tidak mampu mempertahankannya meskipun hanya seberat biji sawi.”
            Ada yang bertanya, “Bagaimana ia boleh terjadi?”
            Muaz menjawab, “Sesungguhnya jika orang yang berakal itu tergelincir, maka dia segera menyedarinya dengan cara bertaubat dan menggunakan akal yang dianugerahkan kepadanya. Tetapi orang bodoh itu ibarat orang yang membangun dan langsung merobohkannya. Kerana kebodohannya, dia terlalu mudah melakukan apa yang boleh merosakkan amal solehnya.”
Fokuslah Belajar Agar Kau Jadi Remaja Berakal.
            Remaja berakal tidak akan mempersiakan masa mudanya. Digunakan masa mudanya sebaik-baiknya untuk menimba ilmu. Mempersiapkan ketajaman akalnya. Dalam masa yang sama tidak lupa menyeimbangkan diri dengan persiapan fizikal dan rohani. Inilah remaja terbaik di antara yang terbaik. Ayuh, fokuslah belajar!

Sunday, 11 December 2011

Piawai Hijab buat Kaum Hawa

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamuaikum ::

Mungkin ramai antara muslimin dan muslimat di luar sana menyangka bahawa hijab merupakan tudung semata-mata dalam istilah bahasa Arab. Memang tidak dinafikan kesahihan istilah itu. Namun begitu, HIJAB mempunyai makna yang lebih tersurat, mendalam dan lebih luas.

 

Pada permukaannya;

HIJAB = penutup, pelindung, penyorok
AURAT = sesuatu yang mengaibkan

Definisi tersebut adalah dua perkara yang amat ditekankan dalam piawaian buat Kaum Hawa, jadi kita mestilah jelas tentang maknanya . InsyaAllah :)



Bagaimana pula dengan Dalil-dalil Naqli dan Hadith-hadith yang menyentuh tentang HIJAB ?

 Allah SWT berfirman; " Katakanlah kepada wanita-wanita beriman agar mereka menundukkan pandangannya dan menjaga kemaluannya; dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang zahir ( spt:kedua mata krn keperluan untuk melihat jalan, atau bahagian luar daripada kedua tapak tangan ). Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya), kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau anak-anak lelaki mereka atau anak-anak lelaki suami mereka atau anak-anak lelaki saudara lelaki mereka atau anak-anak lelaki saudara perempuan mereka atau perempuan-perempuan(sesama ISLAM) mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki atau para pelayan lelaki(tua) yang tidak mempunyai keinginan(terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung." ( Surah An-Nur:Ayat 31)

Rasulullah SAW bersabda;
" Saya lihat neraka dan lihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita."


Ibn. Umar ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
" Akan datang suatu zaman kepada umatku, di mana wanita-wanita akan telanjang meskipun mereka berpakaian. Kepala-kepala mereka akan terlihat seperti punggung-punggung unta yang berjalan cepat. Jika kamu melihat mereka, kutuklah mereka kerana mereka terlepas dari rahmat Allah. Jika ada umat lain setelah kamu, nescaya wanita-wanita ini akan menjadi hamba sahaya, mereka sama seperti wanita-wanita umat sebelumnya melayani kamu." ( Musnad Ahmad )


 

Tahukah antum?
Sesuatu yang mengejutkan apabila ada wanita Barat yang bertanyakan 
tentang kehormatan Wanita Timur:
" Bagaimana mereka menjaga kehormatan mereka sehingga mereka dewasa sedangkan kami yang masih remaja sudah hilang kehormatan?"
Mereka merasa kagum dengan kelebihan tersebut, namun malangnya mereka tidak mengiktiraf kedudukan dan peranan HIJAB.

Bagaimanapun, lebih malang jika kita sendiri tidak maklum dengan peranan dan kepentingan HIJAB .

HIJAB boleh dianalogikan dengan
Analogi Kulit dan Isi:

  • Kulit dan isi sama pentingnya, kerana tanpa kulit yang mengawal, isi akan menjadi busuk. Manakala kulit sahaja tanpa isi pula apalah ertinya...mesipun kulit dibuang untuk mendapatkan isi, kulit tetap memainkan peranan penting dalam menjamin kualiti isi !
 
  • Kulit tidak ubah seperti pakaian yang menutup aurat atau perhiasan wanita. Kulit yang cantik memastikan keyakinan bahawa isinya pasti sama. Marcapada, wanita-wanita yang tidak sempurna ditutup auratnya pasti terdedah kepada risiko pencemaran akhlak dan sebagainya. Dengan ini, isi lebih cepat membusuk .
Manakala, wanita-wanita yang menyembunyikan kecantikannya dengan 'pakaian TAQWA' pasti isinya masih berada dalam keadaan yang baik dan elok :)



Analogi Undang-undang Jalan Raya:

  • Bagi muslimin dan muslimat yang sentiasa bermusafir, lalu highway lah, mana-mana jalan pun, pasti berjumpa banyak signboard dengan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan, bukan? Jadi sememangnya JKR menetapkan sebegitu untuk keselamtan pengguna jalan raya seperti kita walaupun hakikat mematuhi itu bukanlah menyeronokkan..
  • Begitu jugalah sunnatullah dalam menciptakan manusia. Allah memerintahkan kerana Dia Maha Mengetahui keperluan hamba-hambaNya, lebih dari apa yang hamba-hambaNya ketahui. Salah satunya termasuklah Hukum Hijab bagi muslimin dan muslimat :)

Hakikatnya, ada antara kita yang menyedari namun enggan mematuhiNya, bahkan peraturan Allah ini diganti dengan peraturan sendiri, seperti melonggar-longgarkan Hukum Hijab yang sedia ada. Maka ketahuilah bahawa kita selaku hambaNya tidak mempunyai hak bagi mempersoalkan peraturanNya apatah lagi untuk memilih ikut suka hati kita .

Jadi, bagi menjamin keselamatan berterusan tanpa kemalangan dan sebagainya hendaklah kita mematuhi SETIAP SATU isyarat tersebut tanpa terlepas pandang mahupun mengingkarinya. Janganlah sewenang-wenangnya kita mengabaikan peraturan ALLAH !


Analogi Harta:

  • "AKU KAYA! AKULAH JUTAWAN FAKIR!" HA!! Sebagai seorang jutawan yang mempunyai banyak harta, pasti kita akan memastikan langkah perjagaan harta yang rapi, selamat dan efektif, benar? Sebagaiman harta tersebut seperti perhiasan akan dibungkus supaya tidak calar, kemudian disimpan di dalam 'jewellary box' yang dimasukkan ke dalam peti keselamtan berkod! HAHAHA!!!! AKU KAYA!!!
  • Bagaimana usaha wanita bagi menjaga rapi kehormatan atau mahkota dirinya? Sedangkan harta juga diawasi sedemikian rupa, inikan pula kehormatan wanita yang lebih tinggi nilainya daripada harta tersebut!

**********************************************************************************


PIAWAIAN HIJAB KAUM HAWA merangkumi beberapa aspek seperti :

1) Suara
2) Lidah dan ucapan
3) Pandangan mata
4) Ketawa
5) Cara berjalan
6) Ikhtilat
7) Pakaian : Singkat VS Labuh | Ketat VS Longgar | Jarang VS Telap | Menghindari Tabarruj :)


Sekian, MogaAdaManfaatnya ^^

Friday, 4 November 2011

Menghayati Raya Korban/Haji



Aidil Adha disebut juga Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Ketika itu, sejak malam 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah, umat Islam di seluruh dunia menyambut hari yang mulia ini dengan takbir, tasbih dan tahmid.


Bagi mereka yang ada kemampuan disembelih korban dan dengannya di bahagi-bahagikan terutama sekali kepda fakir miskin, sebagai tanda pengabdian yang tulus dan ikhlas dengan niat mencari keredhaan Allah.


Ibadah haji salah satu rukun Islam yang wajib kepada mereka yang mampu sekali seumur hidup. Di dalamnya banyak terkandung pelajaran, pendidikan dan pengalaman yang sangat berguna bagi kita yang mengerjakannya, Allah berfirman yang maksudnya:


“Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengendarai unta yang kurus (kerana jauh perjalanan) yang datang dari segenap penjuru yang jauh . Supaya mereka menyaksi berbagai-bagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah anugerahkan kepada mereka, berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah makan orang-orang yang sengsara dan fakir.”

(Surah Al-Hajj:27-28)


Berbagai-bagai manfaat dapat kita perolehi apabila kita menunaikan ibadah haji secara baik menurut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, antaranya ialah:


Dapat menanamkan rasa ukhuwwah Islamiyah sedunia, menanamkan rasa persamaan, mendidik rohani dan jasmani kita supaya tabah dan sabar dalam menghadapi segala kesukaran didalam mengerjakan sesuatu perkara, dapat menambah pengetahuan dan pengalaman untuk mempelajari adat istiadat dan keadaan bangsa-bangsa lainnya dari seluruh dunia.


Yang datang menunaikan ibadah haji itu terdiri dari umat Islam dari berbagai-bagai bangsa dan suku dan dari berbagai-bagai tingkat. Walaupun demikian, dihadapan Allah, mereka sama-sama hamba Allah, sama-sama berpakaian ihram bagi lelaki, iaitu pakaian yang tidak berjahit serba putih yang sehelai disarungkan dan sehelai yang lainnya diselempangkan menutupi sebahagian tubuh.


Padang Arafah merupakan tempat mereka berkumpul, kaya dan miskin,pegawai tinggi ataupun rendah, semuanya bersaudara, merupakan satu ummat yang bersatu padu di bawah kalimah ‘Lailaahaillallah, Muhammadurrasulullah.”


Alangkah gembiranya hati jika memandang betapa banyaknya mereka yang datang ke tanah suci, semuanya memohon kepada Ilahi Rabbi semoga dilimpahi kurnia menurut apa yang mereka hajatkan. Dikala itu, berkumandanglah ucapan zikir, talbiah, tasbih, tahlil, tahmid, doa dan sebagainya.


Penyembelihan korban yang dilakukan pada hari Raya Aidilaldhamerupakan pengorbanan yang telah diberikan oleh nabi Ibrahim alaihissalam dan anakandanya Ismail a.s.


Sewaktu Ismail telah dewasa dan dapat menolong ayahandanya, maka Allah telah menguji mereka berdua sebagaimana yang di ceritakan oleh Allah,


“Ketika anak itu pandai berusaha (dewasa), berkatalah Ibrahim:


”Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelih engkau, maka fikirkanlah, apa pendapatmu?” Ia menjawab: Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan itu, Insyaallah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”





“Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya, dan Kami panggilah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”

(Surah As Sooffat:102-107)



Inilah sebahagian daripada pengorbanan yang telah diberikan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail dalam mematuhi perintah Allah atau dengan kata lain pengorbanan seorang ayah yang mendapat perintah untuk menyembelih anaknya sendiri yang sangat dikasihi dan Ismail sebagai seorang anak yang taat dan setia di atas perintah Allah dan dengan tidak ragu-ragu meminta supaya ayahnya melaksanakan perintah itu dengan segera.


Akan tetapi Allah tidaklah bersifat dengan sifat kejam , Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Hanya itu merupakan satu cubaan daripada Allah terhadap hamba-hambanya sampai ke mana kecintaan dan ketaatan hamba itu akan terbukti di dalam menempuh cubaan dan dugaan. Kerana Nabi Ibrahim dan Ismail telah lulus dalam menempuh cubaan itu, maka Allah menggantikan Ismail dengan seekor sembelihan.


Semoga dalam menyambut Aidiladha ini dapatlah kita hayati hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya. Mudah-mudahan Allah menyatukan kembali seluruh hati umat Islam yang sedang berada di tebing bahaya kemusnahan.



Semoga kita semua sedia untuk berkorban demi kepentingan ummat Islam, dan terciptanya kembali keagungan Islam dan ummatnya.

Friday, 7 October 2011

Hudud

Teringat Kata Seorang Ulama':
Hudud bukan teori,tapi ia merupakan suatu syariat yang wajib diamalkan

Menghampiri Ujian Itu:)Semoga Berjaya!!


Menghampiri ujian?

Sedang berada dalam ujian?

Telah siap berujian?

Walau apa pun keadaan anda sekarang ini,ingatlah bahawa kita akan sentiasa diuji untuk mendapatkan cinta-Nya yang mahal dan tiada bandingnya dengan harta-harta di dunia yang fana ini.

Namun, ujian apakah yang saya maksudkan di sini?

Setiap manusia sentiasa didatangi dengan ujian. Namun ujian yang di maksudkan di sini ialah:

UPSR
PMRU(YIK)
PMR
SMU(YIK)
SPM
dan banyak lagi....

Ujian ini merupakan  ujian ciptaan manusia yang dibuat untuk menguji individu pencapaian dan pemahaman terhadap sesuatu ilmu yang mampu dicekup  selepas berhempas pulas mentelaahnya selama berbulan-bulan ,bertahun-tahun.Dan ilmu ini diuji hanya dalam beberapa jam sahaja.Dalam dewan peperiksaan.

Kenapa perlu cemerlang?


Peperiksaan adalah suatu amanah kita dengan Allah, Ibu bapa dan seluruh umat Islam. Kita diberi tanggungjawab untuk belajar supaya kita mampu membawa dan menaikkan Islam sebagai cara hidup yang paling sempurna di muka bumi ini.Amanah hendaklah dijalankan dengan sebaik mungkin.Usaha untuk berjaya menjadi tanggungjawab kita. Namun Allah yang memberi natijahnya.

Dasarwarsa ini, umat Islam telah diserikan dengan kejayaan putera-puteri Islam yang semakin meningkat.
Siti Fatimah Mokhtar dan Nik Nur Madihah merupakan contoh yang paling signifikan. Jadikan diri kita sebahagian daripada mereka.Usahalah dengan sebaik mungkin.Teruskan berlari dan berlari untuk mencapai kejayaan.Suatu kisah,seorang ulama menyuruh murid-muridnya berlari sehingga kehabisan tenaga.Maka, dia terus berlari bersama anak muridnya.Setelah semua anak muridnya berhenti berlari kerana letih,dia masih terus berlari sehingga pengsan.Apabila ulama tersebut sedar, dia telah disoal oleh anak muridnya.Dia menjawab"bukankah aku suruh berlari sehingga kehabisan tenaga"?..Itulah,berusaha sehingga ke titik akhir.Jangan menyesali masa yang sudah berlalu,tetapi teruslah berusaha untuk maju sehingga ke titik akhir.

Sebagai penutupnya,jadikanlah kita insan yang berjaya untuk menaikkan nama Islam di mata dunia. Umat Islam memerlukan pemimpin yang berpotensi dalam bidang agama dan akademik untuk melakukan reformasi dalam masyarakat.Di sebalik deretan A yang kita dapat, biarlah kita mempunyai syaksiah yang cemerlang.Sentiasa mengislahkan syaksiah kita supaya mampu mengwibawa ummah di masa hadapan. Pohonlah maaf dengan murabbi yang berterusan-terusan mengajarkan ilmu akhirat mahupun ilmu dunia. Mintalah restu daripada mereka.

Selamat Berimtihan:)

Lakukan yang terbaik Untuk Islam!

PMR:)

SMU:)

SPM:)

Semoga berjaya!!!!! 





Thursday, 6 October 2011

Belajar Dengan Syaitan?


            Burung-burung berkicauan riang. Awanan putih yang bertompok-tompok di langit berarak perlahan. Sang suria memancarkan cahaya menerangi langit kampung Menawo, Keningau. Seperti biasa, suasana di dalam salah sebuah kelas di Pusat Latihan Dakwah Keningau, riuh rendah sedikit. Ketika itu pensyarah yang bertanggungjawab mengajar kami sedang sakit – semoga Allah memberinya kesembuhan – , maka kami pun melakukan hal masing-masing. Aku membuka zip begku, lalu mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk, 'Cukupkah Sekadar Niat?' karya Mohammad Hairi bin Nonchi, seorang graduan daripada Universiti Malaysia Sabah.

            Selepas selesai membaca satu muka surat, aku beralih ke muka surat lainnya. Mataku tertumpu pada perkataan dan ayat yantg tertulis di lembaran kertas tersebut. Aku adalah seorang yang suka membaca, setiap kali ada masa lapang aku pasti membaca buku. Setiap bulan aku akan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku, untuk dibaca. Hidup ku dengan membaca dan buku sudah tidak dapat dipisahkan. Sehari tidak membaca buku, aku akan merasa kekurangan. Apatah lagi dalam masa semingggu.

            Sedang aku menumpukan perhatian, membaca apa yang tertulis pada muka surat buku tersebut. Tiba-tiba Faiz yang duduk disebelahku bersuara. 

"Belajar tu, jangan asyik baca buku saja, bertanyalah juga dengan guru!"

"Kalau belajar tanpa guru, nanti belajar dengan syaitan!" Tambah Amar yang duduk dibelakangku.

Aku sudah biasa mendengar orang menegurku sebegitu. Ini bukan kali yang pertama. Entah buat kali yang ke berapa, aku sudah lupa, kerana aku sendiri tidak menghitungnya.

"Ya, jangan risau. Bukankah selama ini kita belajar bersama-sama di dalam kelas ni?" Aku menjawab teguran Faiz dan Amar. 

Aku bukanlah menafikan kata-kata mereka berdua secara seratus peratus. Apa yang mereka ucapkan itu ada benarnya juga. Belajar itu sememangnya perlu berguru. Sangat mustahil bagi seseorang itu mempelajari sesuatu ilmu, tetapi tanpa berguru. Selama ini pun, aku belajar agama bukannya secara sendiri, melainkan aku berguru. Tapi, tidak perlulah aku sibuk untuk menghebohkan atau menyebutkan satu persatu nama guru-guruku kepada mereka. Kebanyakan manusia sememangnya suka bercakap mengikut suka hatinya tanpa berfikir panjang.

Hari ini segelintir orang yang berpandangan sempit, telah membataskan pengertian belajar. Bagi mereka belajar yang sebenarnya hanyalah belajar dihadapan guru sahaja. Apabila mereka melihat seseorang yang asyik membaca buku, mereka akan berkata kepadanya "Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!". 

Aku merasa tidak keterlaluan, sekiranya aku beranggapan, orang yang berkata begitu sebenarnya, adalah orang yang diserang penyakit malas. Malas membaca, menelaah dan mengkaji. Kata-kata 'barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!' tidak lain hanyalah slogan kosong untuk dijadikan alasan bagi sikap mereka yang malas membaca. Mereka lupa bahawa para ulama dahulu adalah orang yang kuat membaca kitab, beribu dan berjilid-jilid kitab mereka telaah. Adakah semua kitab itu mereka baca daripada lembaran ke lembaran didepan gurunya? Jawapannya sudah tentu tidak.


Namun begitu, walaupun suka membaca, jangan pula kita lupa untuk belajar secara berhadapan dengan guru agama yang diiktiraf keilmuaannya, berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah di atas fahaman Salafus Soleh. Kita perlu bijaksana dalam mengimbanginya. Itulah peganganku dalam menuntut ilmu.

"Kalau belajar tanpa guru adalah belajar dengan syaitan, maksudnya kalau kita belajar dengan guru, kita belajar dengan malaikat? Begitukah?" Aku menyoal Faiz dan Amar dengan nada berjenaka. Secara logiknya, sekiranya kita terbalikkan kata-kata Amar tadi, maka begitulah maknanya.

Faiz dan Amar terkejut dengan kenyataanku. Mungkin tersedar bahawa, kata-kata mereka tadi ada silapnya. 

"Sebenarnya kata-kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan" itu daripada mana datangnya?" Sebelum mereka sempat menjawab soalan yang ku ajukan tadi, soalan seterusnya menyusul. "Adakah ianya hadis Rasulullah s.a.w atau pun kata-kata manusia yang tidak terpelihara?"

"Entah, aku pun tak tahu!" kata Amar selamba. "Tapi banyak orang cakap macam tu aku dengar!"

Amar cuba mengukuhkan kata-katanya dengan menjadikan kata-kata orang ramai sebagai sokongan. Faiz pula hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

"Yalah, memang banyak orang cakap macam tu. Aku pun pernah dengar juga. Tapi, itu tidak menjadi petanda apa yang orang cakapkan itu adalah benar!" Aku membantah kata-kata Amar. Raut wajahnya mula berubah, dia memang pantang dibantah.

"Pada pandangan aku kita perlu nilai semula kata-kata itu." Aku menutup buku ditanganku, lalu memasukkannya ke dalam meja. Amar dan Faiz saling berpandangan antara satu sama lain.

"Belajar dengan guru tidaklah menjamin, bahawa setiap apa yang dipelajari oleh seseorang itu pasti benar seratus peratus. Ini kerana, guru tempat kita belajar itu bukanlah nabi atau rasul yang maksum, terpelihara daripada silap dan salah! Mereka juga manusia biasa, mereka boleh tersilap dan tersalah. Begitu juga dengan kita."

"Bila kita lihat secara realitinya, ada di antara manusia itu, walaupun dia belajar secara berguru, tapi dia tetap termasuk ke dalam golongan orang yang tersesat. Ini kerana, guru tempat dia belajar itu rupanya adalah orang yang sesat!" Aku menambah lagi.

Sedang aku, Faiz dan Amar bertukar fikiran, rakan-rakan yang berada disekeliling kami mula menghampiri. Rakan-rakanku memang pantang melihat perbincangan agama, pasti mereka ingin turut serta, sama ada dengan menyumbangkan pandangan atau mendengar dengan penuh perhatian.

"Betul juga tu! Aku setuju!" Faizal menyampuk.

Amar mengerling Faizal, raut wajahnya menunjukkan dia tidak berpuas hati. Faizal cuba membalas pandangan Amar dengan senyuman yang tidak bersalah.

"Yalah. Betul juga kau cakap tu!" Akhirnya Amar mengalah. Dia tidak dapat menafikan kebenaran kata-kataku. "Memang belajar dengan guru itu tidak menjamin apa yang kita pelajari benar seratus-peratus. Tapi kita perlu faham, kalau kita belajar dengan guru, bukankah lebih bermanfaat. Malah langkah pembelajaran kita pun akan menjadi lebih mudah. Mungkin ada penjelasan yang tidak dinyatakan di dalam buku, tapi guru kita mengetahuinya!"

Aku diam seketika. Berfikir.

"Ya, aku setuju. Memang tidak boleh dinafikan belajar dengan guru itu mempunyai manfaat dan kelebihannya yang tersendiri, yang ianya tidak ada pada orang yang belajar dengan asyik membaca buku."

"Cuma yang aku tidak setuju, bila kau kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan", sebab kata-kata kau tadi tu seolah-olah menghalang orang daripada membaca dan mengkaji daripada buku-buku, dan hanya mencukupkan diri dengan belajar secara berdepan dengan guru." Setelah menjelaskan persamaan pandangan antara aku dengan Amar, aku pun menjelaskan titik perbezaan pandangan antara kami. 

"Ulama dahulu pun belajar berguru juga, tapi pada masa yang sama mereka tidak meminggirkan pembacaan daripada kitab-kitab. Para ulama dahulu terdiri daripada pencinta buku. Mereka membaca beribu-ribu jilid kitab dan risalah. Perkara ini kita boleh lihat dalam kitab, Kaifa Tatahammas li Thalibil 'Ilmisy Syar'i karya Syaikh Abul Qa'qa Muhammad bin Shaleh, yang telah diterjemahkan dalam bahasa melayu dengan tajuk Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu." 

"Apa yang penting sebenarnya, kita seimbangkan. Kita belajar dengan guru, kita juga membaca buku. Apabila tidak faham kita berbincanglah dengan guru, atau sesama penuntut ilmu."

Faiz dan Amar hanya senyum mendengar kata-kataku. Rakan-rakan yang lain bergegas kembali ke tempat masing-masing, kerana kelihatan Ustaz Amri yang akan mengajar kami subjek Usul Feqh sebentar lagi, sudah pun berada diluar kelas. Sejurus selepas itu Ustaz Amri pun masuk ke kelas, dan sesi pembelajaran bagi subjek Usul Feqh pun bermula.


Penulis:

"Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!"

Ada segelintir orang menyangka bahawa kata-kata ini adalah hadis Rasulullah s.a.w, tetapi hakikatnya kata-kata sebegini tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w secara shahih.

Kisah di atas adalah rekaan semata-mata. Ianya tiada kaitan, sama ada dengan yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia. Semoga ianya dapat dijadikan renungan dan memberikan manfaat yang berguna kepada diri saya dan para pembaca sekalian.

Monday, 29 August 2011

Khutbah: Kemerdekaan Diri di Aidilfitri




Allah Maha Besar, Allah Maha Agung, Allah Maha Segalanya. Allahu Akbar, Wa Lillaahil Hamd.
Sidang Jamaah Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang hadirin sekalian, agar TAQWA yang dijana di bulan Ramadhan, jangan disia-siakan. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar TAQWA dan jangan sekali-kali mati, kecuali dalam keadaan dirimu Muslim kepada-Nya.
Hadirin sekalian, rahimakumullah,
Hari ini adalah hari perayaan. Hari yang penuh kesyukuran dan kegembiraan, hari yang ditegah oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam daripada berpuasa padanya. Hari keraian, Hari meraikan.
Namun, apakah hakikat sebenarnya perkara yang kita raikan?
Apakah asbab gembira kita? Apakah signifikasi Aidilfitri hingga diharamkan kita berpuasa pada hari ini?
Persoalan ini harus direnung agar gembira kita ada sebabnya. Manusia yang gembira tetapi tidak tahu mengapa dirinya gembira adalah manusia ‘gila’. Manusia yang gembira tetapi tersalah sebab mengapa dirinya gembira dalah manusia lara yang menc ipta duka.
Negara kita Malaysia mengisytiharkan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan terbesarnya.  31 Ogos menjadi tarikh keramat yang diraikan di seluruh pelusuk tanah air. Apakah yang diraikan pada tarikh itu? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah hari kemerdekaan.
Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka.
Merdeka daripada penjajahan dan penindasan. Merdeka daripada dikawal oleh kuasa asing. Merdeka daripada mengikut telunjuk orang lain. Bumi ini milik kita, kitalah jua yang berhak mentadbirnya. Bukan orang lain.
Kemerdekaan bererti tanah air dikembalikan kepada tuannya. Kepada asalnya.
Jika kemerdekaan daripada penjajahan itu asbab keramatnya tarikh 31 Ogos, maka apakah nilai di sebalik 1 Syawwal? Apakah asbab gembira di Aidilfitri?
Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat,
Ingatkah kita kembali kepada erti Ramadhan?
Ramadhan diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari sebuah merdeka.
Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.
Penjajah pertama adalah Syaitan.  Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.
“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]
Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.
Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.
Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan?
Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.
Namun bagi yang kembali menyertai seruan Syaitan, ingatlah kepada firman Allah:
“Seumpama Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Kufurlah engkau!” Lalu apabila orang itu kufur, berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang Menguasai seluruh alam!” Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka (Syaitan yang mengajak dan manusia yang kufur menerima ajakan) ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim” [al-Hasyr 59: 16-17]
Muslimin dan Muslimat, semoga kita semua dirahmati Allah,
Penjajah kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.
Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]
Itulah sebesar-besar penjajah.
Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa berkata dua.
Manusia yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan, mereka ini buta biar pun celik. Mereka pekak biar pun bertelinga. Mereka menjadi bodoh biar pun memegang segulung ijazah ilmu. Manusia tatkala menjadi hamba kepada nafsu, ilmu sudah tidak lagi berfungsi membijakkannya. Mata yang celik gagal melihat. Telinga yang baik menjadi tuli. Hati menjadi buta dan mati, itulah penangan nafsu.
Berapa banyak rumahtangga yang musnah kerana manusia mengikut hawa nafsu?
Berapa banyak manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu?
Berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?
Semuanya gara-gara manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada kehendak dirinya yang begitu luas tidak terbatas. Nafsu mahu menelan dunia, biar pun makan mampunya hanya sepinggan.
Lalu Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita.
Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua makanan, namun memilih untuk tidak makan kerana mahu patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua minuman, kita memilih untuk tidak minum kerana patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa kita ada isteri atau suami yang halal, tetapi kita tidak mendatangi mereka kerana mahu mematuhi Allah?
Semua itu adalah pelajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?
Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Sesungguhnya kita benar-benar telah merdeka.
Firman Allah:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinyabersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya  itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [al-Syams 91: 7-10]
Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah.
Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,
Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan kita. Ia adalah perayaan yang dirasmikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai perayaan kaum Muslim.
Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis sahih An-Nasa’i)
Kita diberikan perayaan Aidilfitri ini agar kita tersendiri. Muslim harus punya jati diri. Muslim bukan Yahudi dan bukan Nasrani. Kita berbeza. Justeru perayaan kita juga berbeza.
Oleh itu, isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani.
Kita dibenarkan berhibur. Malah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah menegur perbuatan sahabatnya Abu Bakr al-Siddiq radhiyallaahu ‘anhu mendenda dua perempuan yang menyanyi-nyanyi di hari Eid dengan kata baginda:
“Wahai Abu Bakr! Setiap kaum itu ada hari rayanya. Dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita!” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira.
Tetapi janganlah pula dengan hiburan yang sekali lagi membuktikan bahawa kita tiada jati diri, tiada identiti dan masih gagal melepaskan diri dari hiburan versi Yahudi dan versi Nasrani, bernama HEDONISMA.
Ketagihan manusia kepada dadah hiburan bernama hedonisma ini sangat menakutkan. Bukan tidak tahu akan mudaratnya, namun dek ketagihan, manusia yang bertaubat darinya dengan mudah kembali semula menjamah hiburan melampau ini. Hatta di Aidilfitri …
Hindarilah dadah ini. Ingatlah kembali kepada pesanan Baginda:
“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)]
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Laa Ilaaha Illallaah!
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jamaah,
Setelah berakhirnya Ramadhan, pertahankanlah kejayaan perubahan diri yang telah dicapai.
Masjid jangan dibiar sepi. Solat-solat yang wajib lebih utama untuk dijamaahkan berbanding Tarawih. Puasa 6 hari di bulan Syawwal dan puasa-puasa sunat yang lain jangan dilupakan.
Anak-anak yatim jangan dibiarkan yatim 11 bulan.
Amal ibadah dan kebajikan mesti diteruskan.
Sesungguhnya, usia mati kita lebih lama daripada usia hidup. Bekerjalah semasa hidup untuk membolehkan kita berehat semasa mati. Janganlah banyak berehat semasa hidup hingga menyebabkan kita dikerjakan selama mati!
Daripada Abi ‘Umar (ada yang memanggilnya Abi ‘Amrah) bin ‘Abdillah radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata: Aku berkata, “Wahai Utusan Allah, katakanlah buatku berkenaan Islam perkataan yang aku tidak lagi perlu bertanya kepada sesiapa selainmu.” Kata Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, “KATAKANLAH AKU BERIMAN DENGAN ALLAH DAN KEMUDIAN BERISTIQAMAHLAH KAMU” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Strawberry On Top Of Cupcake

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...