::Video Minggu Ini::

::Terjemahan Al-Quran::

::Al-Hadis::

Monday, 29 August 2011

Khutbah: Kemerdekaan Diri di Aidilfitri




Allah Maha Besar, Allah Maha Agung, Allah Maha Segalanya. Allahu Akbar, Wa Lillaahil Hamd.
Sidang Jamaah Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang hadirin sekalian, agar TAQWA yang dijana di bulan Ramadhan, jangan disia-siakan. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar TAQWA dan jangan sekali-kali mati, kecuali dalam keadaan dirimu Muslim kepada-Nya.
Hadirin sekalian, rahimakumullah,
Hari ini adalah hari perayaan. Hari yang penuh kesyukuran dan kegembiraan, hari yang ditegah oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam daripada berpuasa padanya. Hari keraian, Hari meraikan.
Namun, apakah hakikat sebenarnya perkara yang kita raikan?
Apakah asbab gembira kita? Apakah signifikasi Aidilfitri hingga diharamkan kita berpuasa pada hari ini?
Persoalan ini harus direnung agar gembira kita ada sebabnya. Manusia yang gembira tetapi tidak tahu mengapa dirinya gembira adalah manusia ‘gila’. Manusia yang gembira tetapi tersalah sebab mengapa dirinya gembira dalah manusia lara yang menc ipta duka.
Negara kita Malaysia mengisytiharkan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan terbesarnya.  31 Ogos menjadi tarikh keramat yang diraikan di seluruh pelusuk tanah air. Apakah yang diraikan pada tarikh itu? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah hari kemerdekaan.
Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka.
Merdeka daripada penjajahan dan penindasan. Merdeka daripada dikawal oleh kuasa asing. Merdeka daripada mengikut telunjuk orang lain. Bumi ini milik kita, kitalah jua yang berhak mentadbirnya. Bukan orang lain.
Kemerdekaan bererti tanah air dikembalikan kepada tuannya. Kepada asalnya.
Jika kemerdekaan daripada penjajahan itu asbab keramatnya tarikh 31 Ogos, maka apakah nilai di sebalik 1 Syawwal? Apakah asbab gembira di Aidilfitri?
Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat,
Ingatkah kita kembali kepada erti Ramadhan?
Ramadhan diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari sebuah merdeka.
Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.
Penjajah pertama adalah Syaitan.  Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.
“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]
Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.
Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.
Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan?
Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.
Namun bagi yang kembali menyertai seruan Syaitan, ingatlah kepada firman Allah:
“Seumpama Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Kufurlah engkau!” Lalu apabila orang itu kufur, berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang Menguasai seluruh alam!” Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka (Syaitan yang mengajak dan manusia yang kufur menerima ajakan) ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim” [al-Hasyr 59: 16-17]
Muslimin dan Muslimat, semoga kita semua dirahmati Allah,
Penjajah kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.
Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]
Itulah sebesar-besar penjajah.
Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa berkata dua.
Manusia yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan, mereka ini buta biar pun celik. Mereka pekak biar pun bertelinga. Mereka menjadi bodoh biar pun memegang segulung ijazah ilmu. Manusia tatkala menjadi hamba kepada nafsu, ilmu sudah tidak lagi berfungsi membijakkannya. Mata yang celik gagal melihat. Telinga yang baik menjadi tuli. Hati menjadi buta dan mati, itulah penangan nafsu.
Berapa banyak rumahtangga yang musnah kerana manusia mengikut hawa nafsu?
Berapa banyak manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu?
Berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?
Semuanya gara-gara manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada kehendak dirinya yang begitu luas tidak terbatas. Nafsu mahu menelan dunia, biar pun makan mampunya hanya sepinggan.
Lalu Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita.
Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua makanan, namun memilih untuk tidak makan kerana mahu patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua minuman, kita memilih untuk tidak minum kerana patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa kita ada isteri atau suami yang halal, tetapi kita tidak mendatangi mereka kerana mahu mematuhi Allah?
Semua itu adalah pelajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?
Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Sesungguhnya kita benar-benar telah merdeka.
Firman Allah:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinyabersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya  itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [al-Syams 91: 7-10]
Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah.
Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,
Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan kita. Ia adalah perayaan yang dirasmikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai perayaan kaum Muslim.
Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis sahih An-Nasa’i)
Kita diberikan perayaan Aidilfitri ini agar kita tersendiri. Muslim harus punya jati diri. Muslim bukan Yahudi dan bukan Nasrani. Kita berbeza. Justeru perayaan kita juga berbeza.
Oleh itu, isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani.
Kita dibenarkan berhibur. Malah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah menegur perbuatan sahabatnya Abu Bakr al-Siddiq radhiyallaahu ‘anhu mendenda dua perempuan yang menyanyi-nyanyi di hari Eid dengan kata baginda:
“Wahai Abu Bakr! Setiap kaum itu ada hari rayanya. Dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita!” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira.
Tetapi janganlah pula dengan hiburan yang sekali lagi membuktikan bahawa kita tiada jati diri, tiada identiti dan masih gagal melepaskan diri dari hiburan versi Yahudi dan versi Nasrani, bernama HEDONISMA.
Ketagihan manusia kepada dadah hiburan bernama hedonisma ini sangat menakutkan. Bukan tidak tahu akan mudaratnya, namun dek ketagihan, manusia yang bertaubat darinya dengan mudah kembali semula menjamah hiburan melampau ini. Hatta di Aidilfitri …
Hindarilah dadah ini. Ingatlah kembali kepada pesanan Baginda:
“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)]
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Laa Ilaaha Illallaah!
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jamaah,
Setelah berakhirnya Ramadhan, pertahankanlah kejayaan perubahan diri yang telah dicapai.
Masjid jangan dibiar sepi. Solat-solat yang wajib lebih utama untuk dijamaahkan berbanding Tarawih. Puasa 6 hari di bulan Syawwal dan puasa-puasa sunat yang lain jangan dilupakan.
Anak-anak yatim jangan dibiarkan yatim 11 bulan.
Amal ibadah dan kebajikan mesti diteruskan.
Sesungguhnya, usia mati kita lebih lama daripada usia hidup. Bekerjalah semasa hidup untuk membolehkan kita berehat semasa mati. Janganlah banyak berehat semasa hidup hingga menyebabkan kita dikerjakan selama mati!
Daripada Abi ‘Umar (ada yang memanggilnya Abi ‘Amrah) bin ‘Abdillah radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata: Aku berkata, “Wahai Utusan Allah, katakanlah buatku berkenaan Islam perkataan yang aku tidak lagi perlu bertanya kepada sesiapa selainmu.” Kata Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, “KATAKANLAH AKU BERIMAN DENGAN ALLAH DAN KEMUDIAN BERISTIQAMAHLAH KAMU” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

No comments:

Post a Comment

Strawberry On Top Of Cupcake

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...