Pemanduan di atas lebuh raya kehidupan tidak selalu lancar sebagaimana yang dirancang. Usaha menggapai impian tidak selalu dipayungi langit biru nan cerah. Malah, kadang-kadang terpaksa merentasi badai, air mata, keringat dan darah. Kejayaan dan kegagalan silih berganti menghasilkan warna pada kanvas kehidupan. Cantik atau hodoh, bergantung usaha dan kerja keras kita.
Rasulullah SAW, susuk tubuh agung dan dipuji makhluk dari segenap pelusuk alam semesta, adalah tauladan terbaik dalam menjalani kehidupan. Diuji sejak dari kecil dengan kehilangan ayahanda dan bonda tercinta. Disusuli pula datuknya tatkala usia masih mentah. Hidupnya disanjung kerana datang dari keturunan yang hebat, dihias pula dengan akhlak dan budi pekerti mulia. Sehinggalah tiba satu warkah berat yang seratus peratus menukar persepsi masyarakat terhadap baginda, iaitu Islam.
Najis, darah, bangkai, batu, pasir dan kata-kata nista menjadi ‘makanan’ baginda setiap hari. Hilang segala pakaian kemuliaannya selama ini hanya kerana satu-satunya agama yang benar dan diredhai Allah ini. Namun baginda terus positif lalu terus mengorak langkah menyebarkan syiar yang baginda percaya ini.
Lembah demi lembah, bukit demi bukit, padang pasir demi padang pasir dan peperangan demi peperangan yang diharungi tidak pernah mematahkan semangat baginda untuk memastikan kalimah ‘La ila ha illa Allah’ berada di tempat tertinggi. Kemuncaknya, Islam berjaya menguasai dua pertiga dunia. Ia hanya berlaku di zaman Khalifah Umar Al-Khattab setelah beberapa tahun kewafatan baginda.
Jelas, hidup ini adalah perjuangan tanpa akhirnya hingga kita menghadap Allah bagi mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita di dunia. Pohon durian yang tinggi lagi besar memerlukan masa bertahun-tahun lamanya untuk menjadi kukuh dan berbuah dengan lebat. Bayangkan bagaimana pohon Durian terpaksa menghadapi pelbagai tentangan yang berat dalam bentuk angin ribut, cuaca, serangga, tupai dan sebagainya hingga mencapai usia dewasa dan berbuah lebat. Sebaliknya bagi pokok tauge, tumbuh dengan sangat pantas dan pantas jugalah ia kembali layu.
Orang yang berjaya bukanlah golongan yang mengikut jalan orang lain yang sudah berjaya. Orang yang berjaya ialah orang yang membuka jalan baru yang belum pernah dilalui orang lain dengan melakukan perbezaan. Penetapan jalan ini tentulah dimulai dengan impian dan dibantu dengan ilmu. Dari situ, sasaran ditentukan. Sasaran menghasilkan perancangan dan perancangan merangsang tindakan. Tindakan yang terpandu dengan ilmu yang sahih menentukan hasil yang berkesinambungan.
Pada waktu kita memilih jalan yang menurut pandangan kita baik dengan segala risiko yang ada, pasti bukan semua yang menyokong keputusan kita. ‘Serangan’ boleh sahaja datang daripada persekitaran terdekat kita, malah orang yang kita kasihi sendiri. Orang yang bertanggungjawab atas perbuatan dan masa depan kita adalah diri kita sendiri. Kebanyakan orang hanya menjadi penonton dan tukang komen yang baik sahaja. Sekiranya menurut pertimbangan kita yang matang dan orang-orang yang pakar itu sudah baik serta tidak menyalahi panduan wahyu, maka teruskan.
Pada detik-detik akhir kehidupan dan sebelum dipanggil berehat panjang di peraduan Allah yang Maha Pencipta, kita mampu tersenyum puas kerana dapat berjuang menempuhi kehidupan yang penuh liku ini.
No comments:
Post a Comment