::Video Minggu Ini::

::Terjemahan Al-Quran::

::Al-Hadis::

Sunday 31 July 2011

Kemboja Negara Pertama Terima Al-Quran Wakaf



Kemboja menjadi negara pertama menerima naskhah al-Quran menerusi Program Wakaf al-Quran Sedunia anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Yayasan Restu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 10,200 naskhah al-Quran akan diedarkan kepada masyarakat minoriti Islam di negara itu yang dihasilkan menerusi kutipan derma daripada badan-badan korporat, warga ATM dan orang perseorangan.

"Usaha ini sebagai menyatakan keperihatinan negara dan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat minoriti Islam di negara-negara luar," katanya kepada pemberita selepas menerima 10,200 naskhah al-Quran Wakaf Komuniti Islam Kemboja yang disampaikan Pengerusi Yayasan Restu Datuk Latiff Mirasa, di sini hari ini.
Sebanyak 500 naskhah Muqaddam dan 1,000 helai sejadah turut dihantar ke Kemboja untuk diedarkan kepada masyarakat Islam di sana sebagai persediaan menyambut kedatangan Ramadhan, katanya.
Ahmad Zahid berkata selain Kemboja, program tersebut juga dijangka meneruskan bantuan agihan al-Quran ke beberapa negara lain yang mempunyai komuniti minoriti Islam seperti Jepun, Korea dan Afrika Selatan.
Sementara itu, beliau sekali lagi meminta agar syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini menghentikan pemotongan 50 peratus daripada jumlah sumbangan (derma) yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi Program Wakaf al-Quran.
Katanya SMS yang dihantar bukan untuk meraih keuntungan, sebaliknya satu program amal yang diperkenalkan untuk mengumpul dana bagi membantu masyarakat Islam di negara lain.
"Saya harap syarikat telco tidak mengenakan potongan 50 peratus ke atas sumbangan yang dihantar menerusi SMS kerana program ini bukan untuk mencari keuntungan tetapi untuk mencari pahala," katanya.
Program Wakaf al-Quran Sedunia yang merupakan susulan daripada program siri pertama 'al-Quran Sinar Sejagat' Wakaf al-Quran untuk Dunia, dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tahun lalu.
Ia bertujuan menghasilkan al-Quran untuk diwakafkan ke negara-negara yang mempunyai minoriti umat Islam.
Petaling Jaya, 27 Julai

No comments:

Post a Comment

Strawberry On Top Of Cupcake

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...